Friday, 29 November 2013

Cukup-cukuplah tertipu dengan peraduan gores dan menang

Meskipun pelbagai peringatan dan nasihat diberi pelbagai pihak, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, namun masih ramai yang terpedaya serta tertipu dengan peraduan gores dan menang di negara ini.
Menteri berkenaan Datuk Hasan Malik berkata antara faktor orang ramai tertarik dengan peraduan ini ialah caranya yang mudah dan hadiah lumayan yang ditawarkan.

"Modus operandinya ialah mendekati mangsa di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya dan pusat membeli-belah, dan orang yang dikatakan bertuah terpilih untuk memenangi hadiah istimewa daripada 'syarikat' perlu melakukan cabutan kad peraduan yang pastinya akan memenangi salah satu hadiah istimewa seperti kereta sehinggalah wang tunai beratus ribu ringgit.
"Mangsa yang telah menggores keratan kad peraduan ini dan memenangi hadiah barangan elektrik perlu ke pejabat syarikat untuk melakukan gores kedua bagi hadiah yang lebih hebat seperti sebuah kereta atau pelancongan ke luar negara mahupun wang tunai beratus ribu ringgit," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program jualan kembali ke sekolah di sini hari ini.

Beliau berkata di pejabat syarikat gores dan menang, mangsa akan dipujuk membuat sejumlah bayaran sehingga puluhan ribu ringgit, kononnya bagi proses pengiklanan, insurans dan sebagainya jika mereka ingin memenangi hadiah itu.

Beliau berkata mangsa yang tidak mempunyai wang tunai di tangan akan diminta mengeluarkan simpanan dari bank, dan ada juga diminta menggadaikan barangan kemas.

"Mangsa yang termakan dengan tawaran ini akhirnya akan menyerahkan wang mereka. Mangsa mula menyedari diri mereka tertipu apabila scan kad peraduan itu tidak menawarkan hadiah sebagaimana yang dijanjikan," katanya.

Hasan, yang juga anggota Parlimen Kuala Pilah, berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 578 aduan berhubung penipuan gores dan menang dikesan kementerian ini yang menyaksikan Kuala Lumpur, Johor serta Negeri Sembilan mencatat kes tertinggi.

Beliau berkata bagi tempoh itu, sebanyak 86 aduan membabitkan kerugian RM836,500 dikesan di Negeri Sembilan.

Selain menasihati orang ramai agar menjauhi individu tidak dikenali yang menawarkan hadiah istimewa dengan cara mudah melibatkan pengeluaran wang, Hasan meminta mereka melaporkan kegiatan itu kepada kementeriannya dengan segera. 
Sumber : Bernama, Sinar Harian

No comments:

Post a Comment