Thursday, 21 November 2013

Akar umbi Pakatan Rakyat semakin reput?

GEORGETOWN - Pimpinan akar umbi PR ibarat akar yang semakin mereput, demikian dakwa Timbalan Yang Dipertua (TYDP) Pas Bukit Bendera, Saiful Lizan Yusoff.
Saiful Lizan Yusoff
Menurutnya, tidak dinafikan PR di peringkat kebangsaan dilihat kukuh dan kuat namun sayangnya di peringkat bawahan masih lagi longgar.

“Seperti di Pulau Pinang, tiada perhubungan secara formal antara pimpinan Pas, DAP mahupun PKR. Tidak ada langsung mesyuarat jawatankuasa PR di peringkat parlimen mahupun Dun diwujudkan.

“Kita tidak mahu hubungan antara pemimpin PR hanya melalui perjumpaan sementara di kedai kopi ataupun melalui program, ceramah mahupun seminar, objektif sebenar dalam PR tidak akan sampai,” katanya.

Tegasnya, mesyuarat jawatankuasa PR diperlukan bagi semua peringkat parlimen dan Dun bagi membuat sebarang keputusan mahupun menyampaikan permasalahan antara parti dalam PR.

Sekiranya mesyuarat tersebut tidak ada, hanya parti yang berkuasa yang akan membuat sebarang keputusan dan ketetapan sehingga mengetepikan parti yang dikatakan lemah.

Saiful Lizan berkata, Pas tidak pernah mengetepikan DAP mahupun PKR ketika kedua-duanya masih ‘lemah’ satu masa dahulu terutamanya pada PRU-11.

Menurutnya, pada  masa itu hanya DAP yang tidak bersama Pas sementara Pas masih memimpin PKR yang baru hendak menapak.

“Sehinggalah kemudiannya Pas menyertai PR atas desakan rakyat, seharusnya kesemua ini perlu diingati kembali, kami menyertai PR kerana mahukan pengukuhan, jadi selayaknya DAP dan PKR turut berfikiran yang sama sehingga ke hari ini,” katanya.

Dalam masa sama Saiful turut menegaskan beberapa perkara yang tidak sepatutnya berlaku kepada Pas telah pun terjadi di negeri ini.

Antaranya ialah hanya dua ahli politik Pas dibenarkan memegang jawatan Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sedangkan bagi PKR dan DAP jumlahnya jauh lebih ramai.

“Namun yang paling tidak wajar apabila terdapat empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula yang layak memegang jawatan Ahli Majlis MPPP, sedangkan yang paling dekat dengan masyarakat ialah ahli politik.

“Sementara itu, NGO-NGO ini hanyalah mewakili satu-satu komuniti yang kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Sinar Harian mengenai Pas Pulau Pinang yang mengancam untuk menarik diri dan melepaskan semua jawatan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekiranya terdapat campur tangan tertentu dalam hal ehwal Islam di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya menuntut supaya Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp), Datuk Salleh Man diberikan kuasa penuh dalam bidang tugas beliau.

Sumber : Sinar Harian

No comments:

Post a Comment