Tuesday, 26 May 2015

Sultan Johor beli kepentingan hospital Australia

SULTAN Johor mengambil alih sebahagian daripada Hospital Sunset Perth di pinggir bandar Dalkeith membabitkan sejumlah A$8.5 juta, demikian menurut Associated Press Australia (AAP).

Ketua Menteri Australia Barat, Colin Barnett memberi jaminan bahawa urus niaga itu tidak akan menjejaskan tapak warisan di situ.

Barnett berkata, keseluruhan kawasan kira-kira seluas 8.5 hektar, namun hanya 1,900 meter persegi - atau kira-kira dua peratus daripada keseluruhan tapak, telah dijual di bahagian bawah bangunan warisan berkenaan.
Hospital Sunset Perth 
AAP melaporkan bahawa Barnett memberi tahu Parlimen negeri itu pada Rabu bahawa wang hasil penjualan hartanah itu akan digunakan untuk membangunkan semula sebahagian tapak berkenaan.

Selepas kerja-kerja landskap selesai dan bahagian luar bangunan dipulihkan, ia akan ditawarkan untuk pajakan kepada pertubuhan-pertubuhan bukan berasaskan keuntungan atau institusi pendidikan.

Barnett berkata, beliau menjangkakan kawasan itu akan dibuka kepada orang ramai dalam tempoh dua tahun.

"Pada asasnya ia merupakan sebuah kampung berusia 100 tahun dalam keadaan yang bersih dengan kira-kira sedozen bangunan besar dibina," katanya kepada parlimen.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Isu pelarian etnik Rohingya masalah antarabangsa - PM

TOKYO - JEPUN. Isu pelarian etnik Rohingya merupakan masalah antarabangsa dan bukan Asean sahaja, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Beliau berkata walaupun Malaysia dan negara jirannya cuba mencari penyelesaian di peringkat Asean, isu pelarian Rohingya juga merupakan masalah antarabangsa yang memerlukan penyelesaian antarabangsa.
    
"Saya mengambil peluang untuk memberi taklimat ringkas kepada Perdana Menteri (Jepun Shinzo) Abe tentang cabaran terbaru dihadapi Malaysia dan Asean. Apa-apa sahaja yang Jepun dapat lakukan untuk membantu kita menangani masalah ini, amat dialu-alukan," katanya.
    
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) bersama rakan sejawatan dari Jepun, Shinzo Abe (kanan) ketika sidang media bersama di sini hari ini sempena lawatan tiga hari pemimpin Malaysia itu ke Jepun bermula semalam.
- Foto Bernama
Najib berkata demikian pada sidang media bersama-sama dengan Abe selepas mesyuarat dua hala mereka di Pejabat Perdana Menteri di sini.
    
Kedah berdepan dengan kebanjiran pendatang tanpa izin Rohingya dan Bangladesh sejak dua minggu lepas apabila 1,158 pendatang berkenaan ditahan selepas bot mereka mendarat di Langkawi pada 11 Mei.
    
Mereka mendarat di Malaysia selepas Thailand mengambil langkah memerangi sindiket pemerdagangan manusia secara besar-besaran selepas menemukan lebih 30 mayat di sebuah kawasan perkuburan di selatan negara itu, awal bulan ini.

Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk memberikan perlindungan sementara kepada 7,000 pendatang yang dipercayai masih berada di perairan antarabangsa, berdekatan.
    
Dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas mesyuarat dua hala, pemimpin kedua-dua negara mengakui keadaan tidak berperikemanusiaan yang menyelubungi isu Rohingya.
    
Abe berkata beliau menyambut baik usaha dilakukan Malaysia dalam mencapai persetujuan dengan Indonesia untuk memberikan perlindungan sementara kepada pelarian berkenaan dengan syarat penempatan dan proses penghantaran pulang dilakukan dalam tempoh setahun oleh masyarakat antarabangsa.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Sabut kelapa kini digunakan dalam industri perabot

MARANG - Kelapa dikatakan sebagai pokok 1,001 kegunaan dengan setiap bahagian daripada pokok berkenaan mempunyai kegunaan dan boleh dihasilkan produk.

Jika dahulu sabut kelapa hanya dibuang dan dibakar, kini ia menjadi inovasi baharu dalam industri pembuatan perabot, tilam dan tempat duduk kereta.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Kejuruteraan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Dr Mohd Salleh Punan berkata, sabut yang diproses boleh menghasilkan cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang).

Gambar hiasan. Sumber: Internet

Bahan itu digunakan dalam industri seperti pembuatan perabot, permaidani, tilam serta tempat duduk kereta, selain fertigasi pertanian moden bagi menggantikan tanaman di atas tanah.

Dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini, beliau berkata, untuk menghasilkan cocopeat dan coir, sabut kelapa akan direndam di dalam kolam takungan selama sebulan, kemudian sabut yang diawet itu ditoskan sebelum dipukul bagi memecah, melembut dan kemudian diasingkan untuk menghasilkan cocopeat serta coir.

"Sejak lima tahun lalu, pihak Mardi telah menghasilkan mesin pengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan yang mahu menceburi bidang ini dan setiap mesin dijual dengan harga RM20,000. Bagaimanapun, kami sedia beri pinjam kepada usahawan buat sementara selama sembilan bulan," katanya.

Mohd Salleh berkata, namun begitu sehingga kini penggunaan mesin pengasing sabut kelapa ini masih belum digunakan secara meluas.

"Setakat ini hanya empat negeri sahaja yang ada usahawan menggunakan mesin ini iaitu di Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Bagaimanapun, hasil cocopeat dan coir ini sangat mendapat permintaan tinggi bagi pasaran dalam industri pembuatan negara," katanya.

Seorang daripada pengusaha cocopeat dan coir dari Kampung Bukit Kolam, di sini Mamat Osman, 61, berkata, dia yang asalnya berniaga santan selama enam tahun kini memperoleh hasil lumayan setelah menceburi bidang ini tiga tahun lalu.

"Mula-mula memang saya fikir juga, nak buat apa dengan sabut kelapa ni sebab kerja saya jual santan. Kelapa saya guna, tetapi tempurung dan sabut tu tak tahu nak buang ke mana. Kebetulan saya terbaca mengenai mesin ini di surat khabar, saya terus menghubungi pihak Mardi.

"Saya pergi ke Mardi Serdang, untuk lihat sendiri mesin yang dihasilkan pihak Mardi, kemudian saya pinjam sementara mesin berkenaan selama enam bulan untuk percubaan. Bila dah dapat permintaan tinggi, barulah saya beli dua buah mesin ini dengan harga RM25,000 setiap satu," katanya.

Mamat, yang juga pesara kerajaan berkata, pendapatannya menjual santan selepas pencen hanya sekitar RM50 hingga RM60 sehari, tetapi kini pendapatannya meningkat tiga kali ganda hasil permintaan cocopeat yang tinggi.

"Cocopeat ini boleh digunakan sebagai media untuk penanaman fertigasi dan permintaan terhadap cocopeat ini sangat tinggi dan saya hanya menjualnya RM4.50 seguni. Dulu pengusaha fertigasi ambil dari luar negeri, tapi kini mereka ambil dengan saya sebab saya jual dengan lebih murah.

"Untuk coir pula, ia digunakan dalam industri penghasilan perabot, karpet, tilam serta tempat duduk kereta yang mana coir ini tahan lama dan tak mudah rosak serta tidak panas dan sangat sesuai dengan pembuatan ini," katanya.

Mamat berkata coir dijual dengan harga RM900 bagi satu treler.     

"Sabut kelapa saya peroleh daripada orang kampung dengan harga RM60 selori, tetapi kini saya menghadapi sedikit kesukaran untuk mengeluarkan lebih produk kerana pengeluaran kelapa di negeri ini semakin berkurangan," katanya yang turut merancang untuk membuka sebuah kilang tahun ini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Awas sindiket pecah kereta sedang berleluasa di Seremban

SEREMBAN – Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada semasa memakir kereta, berikutan terdapat beberapa sindiket yang aktif dalam kegiatan pecah kereta di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, kegiatan itu dihidu sejak tertangkapnya tiga lelaki warga Indonesia yang mengaku terlibat dalam kegiatan pecah kereta dan mencuri.

Katanya, pada 21 Mei lalu, kira-kira jam 7.45 pagi seorang daripada tiga lelaki Indonesia berjaya ditangkap oleh orang awam semasa memecahkan cermin kereta milik seorang wanita yang sedang menghantar anaknya ke tadika.
Kes pecah kereta kembali aktif sejak akhir-akhir ini - Gambar hiasan.

“Pada sebelah malam pula, tarikh yang sama terdapat empat lelaki warga negara Indonesia melakukan kegiatan pecah cermin kereta dan mencuri, di sekitar kedai makan dekat City Park.

“Walau bagaimanapun, dua daripada mereka berjaya diberkas anggota polis yang sedang meronda di laluan berkenaan, manakala dua lagi berjaya melarikan diri.

“Aktiviti kumpulan sindiket ini akan dipantau dari semasa ke semasa, dan usaha giat kini dilakukan bagi mengesan mereka yang masih bebas.

“Statistik kegiatan pecah kereta bagi tempoh lima bulan pertama ini mencatatkan penurunan sebanyak 57 peratus, namun sejak akhir-akhir ini  kembali aktif, dan dilakukan oleh beberapa individu warga asing yang telah pun dikenal pasti,” katanya.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut terhadap kesemua suspek ini mendapati bahawa mereka datang ke Seremban memang mempunyai niat untuk melakukan jenayah, malah ketiga-tiga lelaki ini menginap di hotel bajet yang sama, dan dipercayai saling mengenali antara satu sama lain.

Katanya, pasport yang mereka miliki itu amat meragukan dan telah dihantar ke  Jabatan Imigresen untuk dianalisis sebelum tindakan lanjut dilakukan.

Kesemua mereka kini di reman selama 14 hari untuk membantu siasatan.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Walaupun Muslim Rohingya dibunuh, umat Islam tidak berdendam. Ini buktinya


INILAH ajaran Islam yang sebenar! Walaupun warga minoriti Muslim Rohingya dibunuh oleh ekstremis Buddha di Myanmar, namun sedikit pun tiada perasaan dendam umat Islam untuk membalas segala kejahatan tersebut.

Itulah yang terjadi di Nepal, saat terjadinya gempa bumi dahsyat yang hampir memusnahkan sebahagian bumi Nepal pada 25 April lalu, umat Islam Nepal tangkas bangun untuk membantu warga Buddha dan Hindu (penduduk majoriti Nepal) dari segi apa yang terdaya.


Memetik laporan Merdeka.com, seorang anggota Masjid Jami Nepal, Mohammad Rizwan, berkata, masjid-masjid yang selamat dari gempa bumi telah dijadikan sebagai pusat pengumpulan barangan bantuan untuk mangsa korban dan ahli keluarga mereka.

Jelas Mohammad lagi, setelah gempa melanda Nepal dengan magnitud 7.8 skala richter, 25 April lalu, seluruh ahli masjid berkumpul, mereka mencari info adakah warga muslim yang terkorban.

Ternyata di sekitar Kathmandu hanya ada dua warga yang meninggal dunia dan belasan yang lain  cedera.

Tapi majoriti keluarga Islam selamat.

“Oleh sebab itu, kini Masjid Jami menjadi pusat pengumpulan bantuan logistik untuk mangsa korban Buddha dan hindu.

“Beras, air bersih, dan makanan siap disediakan.Ini bantuan yang datang dari komuniti muslim Nepal. Kami mengirim ke manapun warga Nepal yang memerlukannya," katanya.

Baca lagi >>

Lelaki yang disyaki menculik budak ditahan polis

KOTA BHARU - Seorang lelaki disyaki terbabit dengan kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berumur tujuh tahun pada Jumaat lepas, ditahan polis semalam.
    
Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek berumur 22 tahun itu ditangkap orang awam ketika sedang meminta sedekah di hadapan Masjid Muhammadi di sini pada pukul 10.15 pagi.
    
"Orang awam yang mencurigai kehadiran lelaki terbabit telah menangkap suspek sebelum menyerahkan kepada polis. Siasatan awal mendapati suspek berasal dari Terengganu," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar berkaitan kes itu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini.

Datuk Mazlan Lazim
Mazlan berkata suspek akan disiasat secara terperinci bagi mengetahui sama ada terlibat dengan sindiket penculikan.
    
"Buat masa ini kita dapati tiada mangsa lain yang terlibat. Bagaimanapun siasatan lanjut akan dilakukan dan kes disiasat di bawah Sekyen 363 Kanun Keseksaan," katanya.
    
Dalam kejadian Jumaat lepas mangsa dibawa ke masjid oleh bapanya untuk menunaikan solat Isyak di Masjid Muhammadi sebelum didapati hilang kira-kira pukul 9 malam.
    
Mangsa ditemui orang awam sedang meminta sedekah di sebuah pasar raya sehari selepas kejadian sebelum diserahkan kepada bapanya Kamarolzaman Mohamad, 50, yang berniaga di Pasar Siti Khadijah di sini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Kolagen pembunuh senyap

JANGAN sampai salah langkah!

Makanan tambahan kolagen semakin mendapat tempat di hati masyarakat memandangkan khasiatnya dikatakan mampu mengembalikan keanjalan dan mencerahkan kulit.

Namun, tahukah bahawa kolagen boleh menjadi pembunuh dalam senyap?

Di pasaran, terdapat pelbagai produk dengan kandungan kolagen yang dijual sehingga 20,000Mg.

Pengambilan kolagen dalam kuantiti banyak boleh memberikan kesan kepada fungsi hati dan buah pinggang yang akan menyebabkan kegagalan kepada fungsi kedua-dua organ penting ini.

Pastikan, jangan tersalah langkah, lihat dahulu kondisi kandungan dan lebih penting dapat nasihat daripada pakar.
Rummpai laut

PPIM terima aduan pengguna

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima aduan mengenai produk makanan tambahan seperti kolagen yang dibeli tidak memberikan hasil seperti dijanjikan.

Ketua aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, keadaan itu seolah-olah menipu pengguna untuk membeli produk tersebut.  

“Pada kebiasaannya harga untuk produk kolagen itu mencecah ratusan ringgit dengan menjanjikan bahawa ia akan memberikan hasil menakjubkan.

“Tetapi ada yang datang kepada kami menyatakan mereka ditipu setelah membelanjakan ratusan ringgit, tetapi hasil yang diperoleh tidak memuaskan,” katanya.

Menurutnya, tidak semua pengeluar produk makanan tambahan menipu pengguna sebaliknya ada segelintir  cuba mengaut keuntungan dengan cara mudah.

“Mereka (pengeluar produk) perlu wujudkan satu persatuan dalam kalangan mereka supaya wujud etika dalam setiap pengeluaran produk dan tidak mengambil kesempatan menjual dengan harga tinggi.

“Terdapat juga pengeluar produk berasaskan krim kolagen meletakkan bahan yang merbahaya. Memang akan nampak kesan positif tetapi untuk jangka masa panjang ia akan menyebabkan masalah kulit,” katanya.

Katanya, pengguna perlu peka dengan kandungan dalam makanan tambahan diambil dan tidak terlalu mempercayai promosi yang dibuat syarikat pengeluaran produk makanan tambahan.

“Kadang-kadang yang datang untuk jual produk itu adalah rakan-rakan sendiri ataupun daripada kalangan keluarga sendiri yang menjual produk.

“Pengguna perlu tahu sesuatu produk sesuai atau tidak sebelum membelinya walaupun yang menjual adalah kenalan kita sendiri,” katanya.

Rosakkan organ dalaman

MAKANAN tambahan seperti kolagen jika diambil secara berlebihan bakal mengundang risiko terhadap sistem dalam badan.

Pakar Toksikologi, Keselamatan dan Terapi Makanan Jabatan Sains Nutrisi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Norazlanshah Hazali berkata, kesan pengambilan kolagen tanpa had tidak akan dilihat serta-merta sebaliknya, pada jangka masa panjang jika digunakan secara berterusan.

“Apabila produk dengan kandungan kolagen masuk dalam badan, ia akan diproses di hati dan dipecahkan kepada molekul kecil.

“Jika diambil berlebihan, ia memberikan beban kepada hati yang perlu bekerja keras memproses bahan tersebut,” katanya.

Katanya, selepas selesai proses di hati, kolagen akan diangkut dalam darah untuk dihantar ke seluruh badan.

“Kolagen akan diuraikan kepada asid amino dan diangkut melalui darah ke kawasan diperlukan seperti otot dan kulit.

“Lebihan kolagen pula tidak boleh disimpan di dalam badan sebaliknya perlu dikumuhkan keluar melalui air kencing dan najis,” katanya.     

Katanya, pengguna berisiko mengalami kerosakan sel hati.

“Suplemen ini tidak mengandungi kolagen semata-mata, tetapi berkemungkinan ada pengawet digunakan bagi memastikan produk itu stabil,” katanya.

Dr Norazlanshah berkata, proses ini berlaku di buah pinggang dan jika dikumuhkan secara berlebihan, sel buah pinggang akan rosak dalam jangka masa panjang.

Beliau menasihati pengguna supaya mendapatkan konsultasi daripada pakar perubatan sebelum mengambil kuantiti kolagen yang sesuai.

“Daripada segi kuantiti kolagen, biasanya wanita memerlukan lebih berbanding lelaki kerana ia mudah dicerna dalam tubuh,” katanya.

Katanya, pembaziran berlaku jika badan tidak memerlukan banyak kolagen tetapi ia diambil tanpa mendapatkan sebarang nasihat pakar.

“Sekiranya ingin mencuba kolagen, pengguna perlu menyedari industri suplemen ini tidak dipantau. Kandungan kolagen dan keberkesanan sesuatu produk sukar diketahui.

“Dari sudut perubatan, pengambilan kolagen sebenarnya adalah suntikan yang bukan melalui salur darah tetapi dimasukkan di bawah lapisan kulit (filler),” katanya.

Rumpai laut tidak mengandungi kolagen

RUMPAI laut yang dibungkus di pasaran dengan label menarik seperti ‘marin kolagen’, 'ibu kolagen' atau ‘kolagen mentah’ sebenarnya tidak mengandungi kolagen.

Herbalis, Bahrain Samah berkata, setakat ini tiada sebarang kajian sains dilaporkan dalam jurnal terkemuka menunjukkan rumpai laut dari mana asalnya didapati mengandungi kolagen.

“Kolagen hanya terdapat dalam tubuh haiwan sama ada bertulang belakang atau tiada tulang belakang.

"Ia tidak wujud dalam tumbuh-tumbuhan. Kajian-kajian terhadap komposisi rumpai laut hanya menemui protein. Kolagen adalah sejenis protein,” katanya.

Menurutnya, protein memiliki sifat-sifat kimia dan fizikal, menepati sifat kolagen barulah boleh dipanggil sebagai kolagen.

“Kenyataan rumpai laut mengandungi kolagen semata-mata kerana terdapat protein di dalamnya adalah tidak tepat," katanya.

Katanya, istilah kolagen menarik perhatian orang ramai kerana mereka mengetahui bahawa kolagen merupakan sejenis protein penting kepada tubuh.

"Lebih kurang 30 peratus daripada keseluruhan protein dalam tubuh manusia adalah kolagen," katanya.

Tambahnya, ramai wanita mengamalkan pengambilan gel rumpai laut kerana percaya ia mengandungi kolagen.

“Pengambilan pada dos sesuai dan konsisten boleh menghasilkan kesan positif terutama pada kesihatan kulit.

"Jika tidak terdapat kolagen adakah kandungan protein dalam rumpai laut membantu mencantikkan kulit dan membantu proses awet muda? Jawapannya ialah paras protein rendah dalam pengambilan harian gel rumpai laut dipercayai tidak memenuhi keperluan asas tubuh untuk membina dan memulihara pelbagai jenis protein,” katanya.

Bergantung pada badan

KEBERKESANAN produk kolagen bergantung kepada keupayaan badan untuk menyerapnya.

Pakar Kulit Poliklinik Dr Suraya, Dr Suraya Sudin berkata, kandungan kolagen tinggi dalam produk di pasaran tidak menjamin keberkesanan produk itu.  

“Pada usia 40 tahun, kolagen semakin berkurangan dan perlu ada pengganti. Kerana itu ramai yang mengambil produk tambahan,” katanya.

Produk kolagen terdapat di pasaran berfungsi mencantikkan kulit.

"Vitamin C perlu dititikberatkan dalam menghasilkan kembali kolagen kepada badan. Ada produk mengandungi 20,000Mg kolagen untuk setiap penggunaan.

"Jumlah tinggi tidak menjamin hasil yang bakal diperoleh. Pengguna perlu cuba dan melihat hasilnya sendiri," katanya.

Beliau berkata, tiada kesan juga mungkin disebabkan ia adalah kolagen tiruan atau tidak sesuai dengan tubuh badan seseorang.

"Kolagen disuntik lebih diyakini berkesan kerana ia diserap kulit. Pastikan ia asli supaya tidak memudaratkan kesihatan," katanya.

Jelasnya, pengambilan kafein bersama kolagen juga antara penyebab ia tidak berkesan pada tubuh.

“Bukan tidak boleh minum kafein, cuma itu antara faktor menyebabkan kolagen cepat hilang. Jika ambil gula yang banyak boleh kurangkan kolagen.

“Asap rokok dan cahaya matahari terik juga menyebabkan kolagen pecah dan terurai,” katanya.

Saran penggunaan pada kuantiti betul

Pen gguna seharusnya tidak mengambil makanan tambahan seperti kolagen dalam kuantiti banyak. Peniaga makanan tambahan kolagen, Wan Hidayah Omar, 32 berkata, pengguna seharusnya mengikut sukatan yang di tulis pada pembalut produk.

“Saya sentiasa menasihati pelanggan supaya mengamalkan makanan tambahan mengikut kuantiti ditetapkan.

“Jangan kerana hendak cepat cantik, soal kesihatan diabaikan. Sesuatu produk perlu mengambil masa tertentu supaya ia boleh memberikan kesan kepada badan,” katanya.

Menurutnya, walaupun pengguna makan kolagen dalam kuantiti banyak, ia tetap diserap pada kuantiti tertentu yang diperlukan tubuh.

“Perkara paling penting adalah minum air pada kuantiti banyak selepas makan kolagen itu,” katanya. Dia juga menasihati pelanggannya supaya menghentikan pengambilan sekiranya terdapat gejala atau tanda luar biasa pada kulit.

Sementara itu, peniaga lain, Nur Amira Suhaimi, 29 berkata, pengambilan produk tiruan kolagen dikhuatiri menjadi punca masalah kesihatan.

Dia berkata, setakat ini masih belum menerima aduan daripada pelanggannya yang mengatakan mengalami masalah kesihatan selepas mengamalkan produk yang dijual.

“Sekarang ini berlaku lambakan produk makanan tambahan di pasaran dan kita tidak tahu mana asli atau palsu. Produk tiruan dijual dalam pembungkusan yang lebih kurang sama dengan yang asli.

“Kebanyakan produk tiruan ini bakal menyumbang kerosakan organ dalaman kerana di campur dengan bahan pengawet tidak dibenarkan,” katanya.

Katanya, pengguna perlu memperhalusi label pada pembungkus produk dan membeli daripada penjual yang diyakini.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wednesday, 13 May 2015

Guru maut terjatuh siling

TUMPAT - Seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting maut selepas terjatuh dari siling tingkat satu rumahnya dekat Kampung Morak, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.50 petang, mangsa, Mohd Rozaidi Awang 41, jatuh terhempap di tangga loteng di ruang tamu tingkat bawah dengan ketinggian kira-kira 7 meter menyebabkan kecederaan parah di  kepala.

Seorang saudara mangsa menunjukkan siling berlubang.
Isteri mangsa, Wan Noorazlin Wan Yaakob, 41, berkata, suaminya naik ke atas siling rumah untuk membantu anak saudara memeriksa sama ada air naik ke dalam tangki kerana pam air rosak sejak sebulan lalu.

Menurutnya, selepas selesai memberi peralatan baiki tangki air itu,  suaminya yang merupakan guru Bahasa Inggeris  bergerak masuk ke dalam siling kerana ternampak sarang burung dalam siling.

“Dia nak buang sarang burung yang bersarang itu, tetapi tidak menyangka kakinya terpijak bahagian siling yang lembut,” katanya merupakan guru di SMK Chabang Empat.

Menurutnya, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu tingkat bawah sedang menghidangkan minuman  untuk suami dan anak saudaranya di meja makan.

Mohd Rozaimi maut selepas terjatuh dari siling. FOTO Siti Rohana Idris
Katanya, dia terdengar bunyi dentuman kuat seperti ada sesuatu terjatuh dari siling dan berpaling ke belakang untuk melihatnya.

“Terkejut saya kerana yang terjatuh itu adalah suami saya. Kepalanya berlumuran darah kerana terhantuk dengan kuat di tangga loteng itu dan kemudiannya jatuh bergolek ke lantai ruang tamu,” katanya.

Menurutnya, arwah tidak sedarkan diri dan dia terus menghubunginya ambulan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Wakaf Bharu tetapi disahkan arwah sudah meninggal dunia.

Jenazah arwah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam kampung Morak.

Turut mengiringi jenazah arwah, Naib Ketua Umno Bahagian Tumpat, Wan Hanapi WanYaakob merupakan abang ipar arwah.

Hasil perkahwinan arwah dengan isterinya dikurniakan enam anak berusia dua hingga 14 tahun.

Baca lagi >>

Thursday, 7 May 2015

Bas bertembung treler, 45 penumpang nyaris maut

DUNGUN - Seramai 45 penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila pengangkutan awam yang mereka naiki merempuh sebuah treler dalam satu kemalangan jalan raya di kilometer 357 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa II Bukit Besi Ajil, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, bas ekspres dua tingkat yang dipandu Messuan Warson, 38, dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menuju ke Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika bas ekspres tersebut sedang memotong sebuah treler tetapi sebuah lagi treler secara tiba-tiba memasuki lorong kanan.

“Pemandu cuba mengelak tetapi tidak berjaya dan bas ekspres terbabit telah merempuh belakang sebuah treler yang membawa muatan tiang konkrit menyebabkan bahagian hadapan bas remuk.

“Treler berkenaan dipandu, Zainuddin Ismail, 50 yang ketika itu dalam perjalanan dari Besut ke Kemaman.

"Akibat insiden itu, tiga penumpang bas termasuk seorang dari Singapura cedera ringan ketika berebut untuk keluar menyelamatkan diri selepas kemalangan berlaku," katanya.

Katanya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan tiada penumpang yang dimasukkan ke wad atau menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, penumpang bas dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, seorang penumpang bas, Wan Hanisah Wan Aziz, 45, berkata, dia hanya menyedari kejadian apabila bas dinaiki bergoyang secara tiba-tiba.

"Saya sedang tidur ketika itu dan terkejut apabila bas bergoyang dengan kuat. Ketika itu baru saya sedar kemalangan berlaku dan suasana dalam bas menjadi kelam kabut.

"Bagaimanapun situasi berkenaan dapat ditenangkan semula oleh penumpang lain dan kami bersyukur kerana terselamat. Ketika kejadian bas dipandu dalam keadaan tenang dan tidak laju," katanya.

Sinar Harian

Baca lagi >>

Wednesday, 6 May 2015

Walk With Me 2015; Sultan Kelantan berjalan bersama-sama rakyat esok

KOTA BHARU - Tradisi Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berjalan bersama-sama rakyat jelata  menerusi Walkathon D’Raja Kelantan (Walk With Me 2015) diteruskan lagi kali ini dengan pengisian yang berbeza.

Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Datuk Tengku Feissal berkata, pada siri ke empat ini, Tuanku berkenaan mencemar duli  berjalan sejauh enam kilometer bersama-sama 25,000 rakyat termasuk pelajar Orang Asli dan pemimpin negeri  tanpa mengira fahaman politik.

Menurutnya, selain memberi peluang kepada orang ramai  bermesra dengan Tuanku program yang berlangsung Khamis ini juga diadakan untuk mengumpulkan dana menerusi Tabung Bencana D’Raja Kelantan bagi membantu golongan memerlukan.

Tengku Mohamed Faziharudean (tengah) menunjukkan baju edisi terhad yang bakal diberikan kepada penderma.
“Kelainan pada tahun ini bertepatan dengan ujian yang melanda Kelantan menerusi bah kuning, program ini dilaksanakan bagi mendapatkan sumbangan untuk membantu golongan memerlukan terutamanya membantu mangsa-mangsa banjir.

“Bersesuaian dengan slogan ‘Kito Terima Kasih Demo’ program tersebut diadakan sebagai tanda terima kasih Tuanku kepada semua pihak yang membantu memulihkan Kelantan akibat terjejas banjir teruk baru-baru ini,” katanya kepada media di sini semalam.

Katanya, sejak pelancaran tabung tersebut pada 1 Mei lalu, sebanyak RM1.07 juta dikumpulkan dan pada  permulaannya sumbangan berkenaan akan disalurkan kepada mangsa bah kuning serta membaiki kemudahan terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun katanya, sumbangan menerusi tabung berkenaan akan dibuka sepanjang masa menerusi Pertubuhan Kerabat Di’Raja Kelantan Al-Muhammadi kerana ia ditubuhkan bagi membantu golongan kurang berkemampuan termasuk persediaan untuk menghadapi musim banjir yang akan datang.

Tambahnya, Tuanku akan mula berjalan secara beramai-ramai  pada jam 5 petang bermula dari Stadium Sultan Muhammad IV menuju ke Jambatan Sultan Yahya Petra dan berakhir semula di Stadium Sultan Muhammad IV.

Katanya, program menderma sambil beriadah  itu terbuka kepada semua secara percuma  dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat  menerusi facebook karnival Walk With Me ataupun mendaftar pada hari program.

“Peserta digalakkan berpakaian sukan yang menutup aurat dan orang ramai yang menderma RM10 ke atas diberikan Anis Moist coklat kek manakala RM100 ke atas mendapat t-shirt Walk With Me 2015 edisi terhad,” katanya.

Sehubungan itu, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Hamzah dan Jalan Sultan Yahya Petra akan ditutup sementara secara berperingkat  bermula jam 4.30 petang hingga jam 7 petang.

Tengku Mohamed Faziharudean berkata, orang ramai boleh mengunjungi perkarangan stadium bermula jam 10 pagi lagi kerana terdapat pelbagai pameran disediakan termasuk pameran bah kuning.

Sinar Harian

Baca lagi >>